IBLIS NAK BERTAUBAT ??

Assalamualaikum..

Suatu ketika dulu pada zaman Nabi Musa a.s., datang lintasan di hati Iblis laknatullah untuk bertaubat kepada Allah. Iblis mahu kembali menyembah Allah dan tidak mahu lagi jadi penderhaka yang dilaknat oleh Allah sampai bila bila. Mungkin Iblis memikirkan masih ada peluang untuk dia selamat dari balasan Allah di akhirat iaitu masuk neraka. Iblis takut masuk neraka kerana dia tahu seksa yang ada di sana.

Mungkin Iblis fikir, dia dilaknat oleh Allah dulu sebab tidak mahu sujud atau hormat kepada Nabi Adam a.s. Jadi sekarang, bila Nabi Adam a.s. sudah tidak ada, tidak ada sebab lagi Allah hendak perintahkan dia sujud kepada Adam. Dengan itu, mungkin fikir Iblis, Allah boleh ampunkan dia.

Iblis laknatullah pun bertemu dengan Nabi Musa a.s. "Dia Nabi dan kekasih Allah. Dia juga Kalamullah, orang yang dikurniakan kelebihan oleh Allah boleh berkata-kata dengan-Nya. Tentu dia boleh sampaikan hasrat aku kepada Allah," mungkin demikian fikir Iblis. Setelah berjumpa dengan Nabi Musa a.s., Iblis pun luahkan hasrat hatinya untuk bertaubat kepada Allah.

Nabi Musa a.s. telah sampaikan kepada Allah permintaan Iblis untuk mendapat keampunan itu. Allah beritahu Nabi Musa a.s. supaya menyampaikan kepada Iblis satu syarat. Jika Iblis akur dengan syarat itu, Allah akan ampunkan dia. Nabi Musa a.s. pun beritahu Iblis laknatullah syarat dari Allah itu. Mendengar syarat itu,  Iblis tersentak dan kesombongannya kembali bermaharajalela dalam dirinya. 

Syarat itu adalah : Iblis mesti pergi ke kubur Nabi Adam a.s. dan sujud kepada Adam di kuburnya itu. Itulah satu2nya cara untuk Allah ampunkan dia. Dia telah dimurkai dan dilaknat oleh Allah kerana kesombongannya tidak mahu sujud kepada Adam ketika Adam mula dijadikan oleh Allah. Maka sekarang Iblis mesti sujud kepada Adam di kuburnya, barulah dia akan diampunkan oleh Allah dan kesalahannya tertebus.

"Aku enggan sujud kepadanya sewaktu hayatnya, apakah aku akan sujud kepadanya ketiak dia sudah mati!" begitulah bentak Iblis di hadapan Nabi Musa a.s. Lalu Iblis laknatullah pun berteriak dan kemudiannya beredar. Dia berazam untuk terus sesatkan anak cucu Adam hingga ke hari kiamat.

Begitulah sombongnya Iblis. Kerana kesombongannya itulah dia terus dimurkai dan dilaknat oleh Allah.

No comments: